Pembuka kata

Kali
ini saya ingin kongsikan dengan anda semua tentang 7 petua skor A untuk
tahun 2008. Sebagaimana yang anda sudah tahu, blog ini adalah ditujukan
kepada sesiapa yang mahu belajar teknik ‘
Belajar’ yang berkesan. Apabila seseorang itu memiliki kemahiran untuk belajar dengan berkesan, dia akan jadi lebih bersemangat dan ‘
Motivasi‘
dirinya akan menjadi lebih tinggi. Jadi, teknik belajar boleh
meningkatkan motivasi untuk belajar…..kemudian…wujudlah
MotivasiBelajar.com ….

Apa yang ingin saya katakan ialah motivasi belajar
selalu dikaitkan dengan kecemerlangan akademik. Jika seseorang itu
mempunyai teknik belajar yang baik dan tahap motivasi dirinya tinggi,
tentu dia boleh capai kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.
Benar, saya setuju. Cuma, konsep motivasi dan teknik belajar bukan
sahaja boleh digunakan oleh pelajar, malah ia sesuai untuk orang dewasa.
Kerapkali saya lihat orang dewasa menghadapi
kesukaran untuk mempelajari sesuatu yang baru. Lebih buruk lagi, ramai
orang dewasa yang takut untuk mempelajari sesuatu yang baru. Contohnya
ada orang dewasa yang takut belajar menggunakan komputer dan internet.
Ada yang takut untuk belajar berniaga. Ada yang takut untuk menghadiri
kursus kerana bimbang gagal dalam ujian yang bakal diduduki.
Jadi, kepada pelawat setia blog ini, anda boleh
gunakan tips dan teknik yang dikongsikan di sini bukan sahaja untuk
anak-anak atau saudara-mara tetapi untuk diri anda sendiri.
Insyaallah minggu depan saya akan kongsikan 7 petua untuk skor A tahun 2008.

Petua 1

Mari
kita mulakan dengan petua yang pertama. Petua ini sudah berulang-ulang
kali saya tuliskan di dalam blog saya ini. Namun, kepentingannya
menyebabkan ia tidak dapat dipisahkan daripada 7 petua penting untuk
skor A dalam tahun 2008 ini. Petua pertama ialah,
tulis di atas sekeping kertas subjek apa yang anda mahu dapat gred A itu.
Menulis apa yang anda kehendaki mengaktifkan satu
bahagian dalam minda anda yang dinamakan RAS (Reticular Activating
System). Apabila bahagian minda ini aktif, anda akan mula sedar dan peka
kepada peluang-peluang yang boleh mendekatkan anda kepada apa yang anda
hendak capai. Contohnya jika anda mahu gred A dalam subjek Bahasa
Inggeris, RAS akan membuat anda sedar tentang kawan baik anda yang
pandai Bahasa Inggeris. Mungkin dia boleh menolong anda. Mungkin juga
anda akan sedar kelas tambahan Bahasa Inggeris yang diajar oleh seorang
guru yang hebat. Selama ini anda tidak sedar kerana anda tidak pernah
menulis yang anda anda mahu gred A dalam subjek ini.

Bagaimana cara menulis gred A yang anda mahukan ini? Mudah sahaja.
Cari sehelai kertas atau lebih baik lagi satu buku
khas yang akan sentiasa berada bersama anda sepanjang tahun 2008 ini.
Buku khas akan memastikan ia tidak mudah hilang atau rosak seperti
sehelai kertas biasa. Anda perlu ingat, buku ini tidak semestinya mahal.
Anda boleh beli satu buku latihan biasa yang hanya berharga sekitar
RM0.70 ke RM1 sahaja. Kalau ada buku latihan lama yang sudah tidak
dipakai pun boleh.

Banyak perkara anda boleh tulis tetapi saya cadangkan anda tulis 3 perkara ini.
- Tulis semua subjek yang anda ambil dalam tahun 2008 ini dan tulis gred yang anda mahu untuk setiap subjek.
- Tulis 3 sebab mengapa anda mahu mendapat gred tersebut. (Jangan
tulis “….sebab saya memang nak dapat gred A.” Anda perlu perah otak
sedikit untuk menjawab soalan ini kerana soalan begini jarang
difikirkan.)
- Tulis dalam bentuk ayat apa yang anda akan rasa kalau anda benar-benar mendapat gred tersebut.
Lakukan dahulu langkah ini dan kita akan sambung lagi penjelasan mengenai langkah ini esok. Selamat menulis.

Petua 1.1

Adakah
anda sudah menulis langkah semalam? Kalau sudah, bagus. Kalau belum,
lakukan sekarang. Walaupun langkah ini nampak terlalu mudah atau
kelihatan tidak penting, saya tidak dapat gambarkan betapa hebatnya
teknik ini untuk kita mencapai sebarang cita-cita.
Untuk mencapai kecemerlangan akademik, anda perlu
menulis matlamat pencapaian akademik anda. Bagaimana jika anda tidak
tahu dan tidak pasti apa yang anda mahu capai? Hmmm…ada beberapa
kemungkinan mengapa anda tidak tahu apa yang anda mahu capai.
- Anda tidak pernah fikirkan perkara ini. Anda pergi ke sekolah,
kolej atau universiti hanya kerana itulah yang anda sudah biasa
lakukan.
- Anda mungkin tidak ada rujukan. Mungkin kawan-kawan, ahli keluarga
anda atau saudara mara anda tidak pernah bercerita tentang apa yang
ingin dicapai dalam bidang akademik. Jadi anda pun tidak fikirkan
mengenainya.
- Anda mungkin takut hendak memikirkan apa yang bakal anda dapat. Ini
mungkin sebab utama. Disebabkan anda mungkin belum cemerlang sekarang,
anda takut untuk memikirkan apa yang bakal anda perolehi.

Jangan
bimbang jika anda masih belum pasti. Mulai hari ini, fikirkan setiap
hari apa yang ingin anda capai. Satu cara untuk lakukannya ialah, jangan
fikirkan tentang halangan atau kelemahan. Contohnya, “aku nak gred A
subjek Sains, tapi selama ni aku asyik dapat gred E je. Mana boleh dapat
A kalau macam ni.” Anda cuma perlu fikirkan begini, “Kalau tidak ada
halangan untuk capai apa sahaja gred yang aku nak, gred apa yang aku nak
pilih agaknya?”
Saya telah sediakan satu ruangan untuk anda isikan
dibawah. Untuk setiap subjek, anda perlu isikan gred sekarang (gred yang
biasa anda dapat dalam peperiksaan), dan gred serta markah yang anda
mahu dapat dalam peperiksaan sebenar. (80 markah gred A, 100 markah juga
gred A. Tetapi kalau anda mahu dapat gred A dengan 100 markah, usaha
anda pasti berbeza). Ini adalah contoh sahaja. Senaraikan juga subjek
anda yang tidak tersenarai di bawah.

Setelah anda isi jadual ini, kita boleh mula bincangkan tentang petua kedua, esok. Selamat menulis.
p/s Jangan lupa tulis sebab mengapa anda mahu
capai gred tersebut dan apa anda akan benar-benar rasa kalau betul dapat
capai gred tersebut.

Petua 2
Bagaimana dengan latihan menulis matlamat pencapaian
akademik? Sudahkah anda jelas apa yang anda hendak capai? Baiklah….kita
teruskan dengan petua kedua. Petua kedua berbunyi, kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda. Mudah sahaja bukan?
Sebenarnya, apabila kita sudah tulis gred yang biasa
kita dapat sekarang dan gred yang kita mahu capai pada masa akan datang,
kita boleh mendapat gambaran tentang kekuatan dan kelemahan kita. Mari
kita bincangkan tentang kekuatan dulu.

Mana-mana
subjek yang kita rasa mudah nak faham, senang nak skor dalam exam
termasuk dalam kategori kekuatan kita. Kena ingat, subjek yang kita rasa
mudah sahaja tidak bermaksud kita mudah nak skor dalam peperiksaan.
Semasa saya dalam tingkatan 3, saya ada kenal seorang kawan melalui
aktiviti silat. Kawan saya ni datang daripada sekolah lain. Semasa
berbual dengannya, saya kata kepadanya, “subjek sains susah kan? dah
belajar pun susah nak skor.”
Kawan saya tu ketawa kecil. Katanya, “eh, subjek
Sains la senang. Aku kalau subjek Sains, setakat nak dapat 40 ke 50
markah tu memang senang je.”
Saya terkejut juga ketika tu. “Senang tu kalau boleh
dapat 40-50 markah ke?” Soal hati saya. Rupa-rupanya kawan saya ni
memang biasa dapat 40-50 markah untuk subjek Sains. Saya pula biasa
dapat 60-70 markah. Saya maksudkan susah kerana susah nak skor A. Namun,
saya tidak beri apa-apa komen kepada kawan saya ni cuma ketika saya
mula faham, subjek yang senang memberi maksud yang berbeza kepada orang
yang berbeza.
Apa yang penting kita tahu ialah, dalam petua ini,
apabila kita kata subjek yang kita kuat, ia bermaksud subjek yang kita
boleh skor A atau boleh skor markah 80 ke atas.
Apabila kita sudah kenal pasti subjek yang menjadi
kekuatan kita, usaha untuk mengulangkaji akan jadi lebih mudah. Untuk
subjek-subjek ini, kita perlu:
- Jadikan sebagai sumber inspirasi. Jadikannya sebagai pendorong bahawa kita mempunyai kekuatan dalam bidang akademik.
- Luangkan masa untuk mengulangkajinya secara berterusan. Untuk subjek
yang kuat, kadangkala kita tidak perlu luangkan terlalu banyak masa
kerana masa yang lebih perlu diberikan kepada subjek yang lemah. Namun,
dengan usaha yang berterusan (membuat hanya beberapa latihan sehari
tetapi berterusan) kita akan sentiasa mampu mengekalkan gred kita yang
baik untuk subjek ini.
- Belajar dengan rasa bersemangat. Seseorang yang pandai subjek
Sejarah contohnya pasti rasa tidak sabar untuk mengulangkaji subjek
Sejarah setiap kali. Cuba kenal pasti dengan jelas apa yang kita rasa setiap kali mahu belajar subjek yang kita suka ini. Rasa seronok, tenang dan selesa bukan? Rasa ini amat penting untuk kita gunakan semasa belajar subjek yang kita lemah nanti.
Esok saya akan kongsikan apa yang patut kita lakukan dengan subjek yang kita lemah. Selamat mengkaji kekuatan diri.

Petua 2.1
Setelah kita kaji kekuatan yang ada pada diri kita,
kita juga akan sedar tentang kelemahan yang selalu mengganggu keyakinan
diri kita untuk berjaya. Apabila kita sudah tulis gred yang kita mahu
dapat dan gred yang kita dapat sekarang, kelemahan diri kita boleh
nampak ketara. Apa yang perlu dilakukan terhadap kelemahan ini? Ada
beberapa perkara yang perlu kita lakukan.
Pertama,
kita perlu ingat, kelemahan itu bukan sesuatu yang kekal. Ramai pelajar
cemerlang bermula dengan gelaran pelajar lemah dan tidak
cemerlang. Jadi, jangan terlalu risau.
- Kedua, kelemahan masa kini merupakan satu cabaran buat kita. Anggap ia
seperti kita mahu memasuki pertandingan sukan berlari contohnya. Jika
kita sekarang masih tidak ada stamina yang kuat untuk berlari (ini
merupakan satu kelemahan bukan?), apa yang perlu kita lakukan? Ya…..
kita perlu buat latihan untuk meningkatkan stamina seperti berjogging
atau buat senaman berbentuk aerobik. Patutkah kita duduk menangis dan
putus asa kerana kita tidak ada stamina sekarang? Tidak bukan? Sama
seperti kelemahan akademik. Kita tidak perlu bersedih atau putus asa
jika pencapaian sekarang masih lemah. Kita cuma perlu buat lebih banyak
latihan untuk menguatkannya.
- Ketiga, kita perlu buat rancangan untuk mengatasi
kelemahan kita. Rancangan itu termasuk rancangan untuk buat lebih banyak
latihan, berjumpa dengan guru lebih kerap dan berkawan dengan
kawan-kawan yang pandai subjek tersebut.
Satu perkara lagi yang kita perlu sedar ialah apabila
kita lemah sesuatu subjek, kita akan rasa kurang minat atau benci
subjek tersebut. Ini adalah normal. Dalam petua seterusnya nanti, saya
akan terangkan bagaimana cara untuk menguruskan masa agar kita sentiasa
memberi tumpuan kepada subjek yang kita kurang minat ini.
Akhir sekali, cuba kita perhatikan cara kita duduk,
cara kita membaca dan cara kita bergerak semasa belajar subjek yang kita
lemah ini. Tentu ia sangat berbeza berbanding subjek yang kita suka
kan? Mulai hari ini, cuba duduk dan bergerak seperti kita benar-benar
suka subjek yang kita lemah tu. Otak kita tidak dapat bezakan sama ada
kita berlakon suka atau tidak. Apabila kita bergerak dansenyum semasa
belajar subjek yang kita lemah ini, otak kita akan menghantar isyarat ke
seluruh tubuh badan agar menjadi lebih berkesan kerana ia sangka kita
sangat suka subjek ini.
Selamat mencuba.

Petua 3
Setelah kita tulis matlamat gred yang kita hendak
capai dan setelah kita kaji kekuatan dan kelemahan kita, sekarang tiba
masanya kita mulakan langkah kecemerlangan dengan mempelajari petua yang
ketiga. Petua ketiga ini berbunyi, uruskan masa berpandukan matlamat.

Petua
ketiga ini sangat berkesan untuk mengatasi satu masalah yang saya
namakan ‘gejala azam tahun baru’. Maksudnya, pada awal tahun, pelajar
(atau orang dewasa) akan menanam azam yang hebat untuk mencapai
kecemerlangan dan kejayaan.
Namun, azam itu akan pudar dalam masa hanya beberapa
minggu atau beberapa bulan pertama sahaja. Sebab utamanya ialah azam itu
tidak disertakan dengan rancangan tindakan. Apa yang perlu kita lakukan
untuk tidak terjebak dengan gejala azam baru ini?
Begini.
Perkara paling penting dilakukan selepas kita ada matlamat ialah merancang tindakan. Maksudnya, untuk mendapat gred A dalam subjek Matematik, kita perlu tentukan apakah aktiviti yang perlu kita lakukan.
Contohnya, untuk dapat gred A, kita rasa kita perlu
buat 20 latihan matematik setiap hari (tidak termasuk kerja sekolah).
Jadi, setiap hari fokus utama kita ialah menyiapkan 20 latihan tersebut
tidak kira berapa sibuk dan penat sekalipun.
Kalau boleh, tindakan itu mesti boleh dilakukan dalam
masa 48 jam selepas kita menulis matlamat. Mengapa? Jika ia mengambil
masa terlalu lama untuk dilaksanakan, kita kan mula hilang semangat.
Jika ia dilaksanakan serta-merta, semangat yang masih membara itu akan
membantu menolak kita ke hadapan dan melakukan semua perkara yang patut
dilakukan.

Saya
lihat teknik ini digunakan oleh beberapa sahabat baik saya yang
cemerlang dalam subjek Matematik ketika di sekolah menengah berasrama
penuh dulu. Mereka sudah tetapkan berapa soalan mereka perlu buat dalam
sehari.
Jika mereka rasa hari mereka akan sibuk dengan
aktiviti sukan atau kelab, mereka akan curi mana-mana masa yang terluang
untuk menyiapkan latihan tersebut. Kadang-kadang mereka buat latihan
semasa menunggu guru masuk ke kelas. Kadang-kadang mereka buat latihan
semasa menunggu giliran ke bilik air (kerana bilik air penuh) dan
kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu masuk waktu sembahyang
di surau.
Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin berjaya,
jangan hanya fikirkan tentang hendak mendapat gred A tetapi fikirkan
juga apa yang perlu dilakukan setiap hari, setiap minggu dan setiap
bulan. Tindakan ini semua lebih mudah kita kawal dan ia boleh menjadi
kayu pengukur sama ada kita sedang bergerak menuju matlamat kita atau
tidak.
Jadi, tugas kita hari ini, senaraikan aktiviti atau
tindakan yang perlu kita ambil untuk memastikan kita dapat apa yang kita
inginkan. Minggu depan saya akan terangkan lebih lanjut mengenai petua
ketiga ini terutamanya bagaimana menguruskan masa untuk subjek yang kita
lemah.

Petua 3.1

Kita
masih lagi dalam petua ketiga – uruskan masa mengikut matlamat. Hari
ini kita akan bincangkan bagaimana hendak menguruskan masa untuk subjek
yang kita lemah. Sebelum itu, apa yang dimaksudkan subjek yang kita
lemah? Secara mudahnya begini. Kalau satu subjek itu kita hendak dapat
gred A tetapi sekarang kita dapat gred C ke bawah, kita anggap ia subjek
yang kita lemah. Ini kerana kita perlu lompat sekurang-kurang dua
tangga gred untuk sampai gred matlamat kita itu. Setuju? (Setuju je la
ye untuk tujuan perbincangan petua ini.

)
Baiklah. Mari kita bincangkan masalah pengurusan masa
subjek lemah. Selalunya, jika kita lemah sesuatu subjek, kita tidak
akan suka untuk luangkan masa belajar atau ulangkaji subjek tersebut.
Betul kan? Maksudnya, kalau kita lemah subjek Bahasa Melayu, kita jarang
mahu belajar subjek ini apabila ada masa terluang. Kita lebih suka
belajar subjek yang kita kuat apabila ada masa terluang.
Ini adalah normal. Subjek yang kita lemah membuat
kita rasa tidak selesa. Setiap kali mahu belajar subjek itu, kita sudah
mula rasa tekanan perasaan akibat kesusahan untuk memahami subjek
tersebut. Jadi, selagi ada peluang, kita akan tinggalkan subjek
tersebut. Caranya begini.

Ada 3 perkara yang kita patut lakukan untuk uruskan masa subjek yang kita lemah ini.
- Pertama, buka buku subjek tersebut dan belajar topik yang paling mudah dahulu.
Belajar bersungguh-sungguh hingga kita dapat kuasai topik tersebut.
Biar kita rasa topik itu sangat mudah bagi kita. Apabila ini berlaku,
motivasi dalam diri kita akan meningkat. Kita akan rasa lebih
bersemangat untuk belajar. Apabila motivasi diri ini timbul, belajar
beberapa topik lain yang paling mudah pula. Akhirnya, tanpa kita sedari,
kita sudah belajar hampir semua topik. Lebih hebat lagi, semua topik
kelihatan mudah sahaja.
- Kedua, jika kita belajar subjek yang kita kuat 1 jam, kita perlu belajar subjek yang kita lemah 2 jam atau lebih.
Secara lojiknya, subjek yang kita lemah perlukan lebih perhatian bukan?
Satu perkara yang hebat ialah apabila kita boleh kuasai subjek yang
kita rasa susah selama ini, subjek lain akan terasa semakin senang.
Lama-kelamaan, kita akan rasa mendapat semua A dalam peperiksaan adalah
sesuatu yang kita boleh capai.
- Mula berkawan dengan pelajar yang pandai dalam subjek kita lemah
ini. Tiru cara mereka berfikir tentang subjek ini. Lebih baik lagi,
eratkan hubungan kita dengan guru yang mengajar subjek ini. Guru
selalunya sangat suka apabila ada anak muridnya yang menunjukkan
kesungguhan untuk belajar. Jadi luangkan lebih masa dengan kawan-kawan
yang pandai subjek ini dan guru subjek ini.
Kita sambung esok.

Petua 3.2

Ini
adalah bahagian terakhir petua ketiga. Kita akan bincangkan bagaimana
cara hendak menguruskan masa berpandukan matlamat. Mudah sahaja topik
hari ini. Semasa kita merancang masa untuk belajar atau buat sesuatu,
fikirkan tentang keberkesanan, bukan jumlah waktu.
Maksudnya, jika kita mahu merancang masa untuk belajar, jangan terlalu
fikirkan berapa jam mahu belajar, tetapi fikirkan berapa lama kita boleh
luangkan masa untuk belajar sesuatu dengan berkesan.
Kita mungkin pernah dengar pelajar merungut yang
mereka sudah belajar hampir 6 jam sehari tetapi hasilnya masih tidak
memuaskan. Ada dua sebab utama mengapa ia jadi begini.
- Pertama, pelajar ini mungkin tidak gunakan teknik belajar yang betul. Mereka luangkan banyak masa untuk belajar tetapi mereka lambat faham dan cepat pula lupa. Akibatnya, dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menghasilkan prestasi terbaik.
- Kedua, walaupun masa terluang hampir 6 jam, hakikatnya masa yang
digunakan secara berkesan cuma 1 atau 2 jam sahaja. Bagaimana ini boleh
berlaku?

Ada
pelajar yang tidak fokus semasa mereka belajar. Ada yang leka dengan
televisyen atau radio. Ada yang leka dengan panggilan telefon dan sms.
Ada yang leka dengan makan dan minum. Akibatnya, walaupun sudah luangkan
masa 6 jam, masa yang betul-betul digunakan untuk belajar ialah 2 jam
atau kurang. Pernahkah anda melakukan kesalahan begini?

Jadi, mulai hari ini, apabila kita mahu merancang
masa untuk belajar, fikirkan berapa lama kita mahu benar-benar fokus.
Setelah luangkan masa untuk belajar selama 2-3 jam, fikirkan “berapa
banyak aku dah dapat dalam masa 2-3 jam tadi?”. Apabila kita selalu
berfikir begini, kita akan habiskan masa dengan berkesan dan walaupun
kita luangkan sedikit masa untuk belajar, hasilnya akan jadi lebih baik
daripada yang kita jangkakan.
Selamat merancang untuk menguruskan masa.

Petua 4

Petua yang keempat untuk skor A 2008 ialah gandakan
‘latih tubi’.
Latih tubi adalah aktiviti membuat latihan bagi setiap subjek
terutamanya latihan bagi soalan-soalan yang biasa disoal dalam
peperiksaan.
Saya kerap mendapat soalan mengenai situasi begini
“saya sudah belajar semua topik dan sudah hafal semua maklumat penting
dalam setiap topik. Tetapi, saya masih gagal jawab dengan baik dalam
peperiksaan. Akibatnya, saya hanya dapat gred yang sederhana baik.”
Tahu dan hafal semua maklumat tidak menjamin kita
mendapat A. Gred A ialah untuk pelajar yang boleh jawab soalan mengikut
skema jawapan yang telah diberikan. Maksudnya, jika kita mahu dapat gred
A, kita kena tahu bagaimanakah bentuk soalan yang bakal ditanya dan
kita perlu tahu bagaimana mahu menjawabnya. Ini akan dapat dicapai
dengan melakukan latih tubi.
Saya fikirkan tentang petua ini apabila saya
terkenang satu subjek yang dianggap sangat sukar ketika saya mengambil
A-Level pada tahun 1996 dulu. Subjek itu ialah Economics. Subjek ini
terbahagi kepada 2 bahagian iaitu 50 soalan objektif dan lebih kurang 4
soalan subjektif. Entah kenapa saya boleh jawab soalan subjektif tetapi
soalan objektif begitu sukar buat saya. Walaupun saya tahu banyak
perkara dan sudah hafal banyak maklumat penting, saya masih gagal mendapat 30 jawapan betul daripada 50 soalan. Paling tinggi markah yang saya dapat pun mungkin 25 ke 29 markah.
Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum peperiksaan
sebenar, saya mula mengumpul semua soalan sebenar daripada 10 tahun
lepas (past year questions). Terdapat 20 set kertas soalan semuanya
(setahun ada dua peperiksaan begini dijalankan jadi ada 20 set kertas
soalan untuk 10 tahun). Apa yang saya lakukan ialah saya betul-betul
habiskan masa membuat semua soalan ini dengan niat untuk menghabiskannya
sebelum peperiksaan sebenar. Alhamdulilah, saya selesaikan semua soalan
itu dalam masa seminggu.
Setelah selesai semua soalan, saya sedar satu
perkara. Ada satu corak yang boleh dikenalpasti dalam soalan-soalan
tersebut. Malah, ada soalan yang lebih kurang sama cuma diubah cara
penyampaiannya. Ini membuat saya sangat yakin bahawa saya pasti boleh
menjawabnya dengan baik. Pada hari peperiksaan sebenar, keyakinan dan
latih tubi saya itu benar-benar membuahkan hasil. Setelah pensyarah saya
periksa jawapan saya yang saya tanda di atas kertas soalan (kertas
jawapan sebenar dihantar ke UK untuk diperiksa), saya berjaya mendapat
50 markah per 50. Markah penuh! Saya juga dapat jawab dengan baik dalam
soalan subjektif (esei) yang akhirnya memberikan saya gred keseluruhan A
untuk subjek Economics. Saya percaya itulah salah satu kehebatan petua
keempat ini.

Saya
mahu cadangkan satu cara belajar untuk dapat gred A. Katakan kita
sedang belajar subjek Sejarah. Selalunya pelajar akan baca dulu satu
topik kemudian membuat latihan yang disediakan di bahagian akhir topik
tersebut. Apa kata kita mulakan dengan membuat soalan-soalan itu semua
dahulu. Hmmm….pasti ada yang yang rasa pelik. Macam mana nak buat
latihan kalau belum baca? Begini.
Apabila kita baca soalan, kita akan mula berfikir
tentang jawapannya. Apabila kita fikir tentang jawapan, kita mula akan
jadi peka kepada maklumat yang ada di dalam topik tersebut. Dua perkara
akan berlaku:
- Melalui soalan itu, kita akan tahu bahawa maklumat itu adalah
penting dalam topik tersebut. Sebab itulah ia disoal dalam soalan di
bahagian akhir. Jadi, bila kita mahu belajar dan baca topik itu nanti,
kita perlu cari maklumat-maklumat itu.
- Setelah kita buat soalan di bahagian akhir dan tahu apa yang akan
disoal di dalam topik itu, kita akan jadi lebih peka. Apabila kita baca
topik tersebut selepas buat soalan, kita akan terjumpa fakta-fakta dalam
soalan tadi. Contohnya, jika tadi kita ada buat soalan “pada tahun
berapakah Malaysia diisytiharkan merdeka?”, kita akan segera nampak
jawapan ini apabila kita membacanya. Bukan itu sahaja, kita akan lebih
ingat apa yang kita baca ini.
Jadi, kita perlu ingat, untuk skor A, kita perlu
banyak buat latihan terutamanya latihan soalan-soalan lepas dan juga
latihan di bahagian akhir topik yang kita pelajari. Esok kita akan
sambung lagi bagaimana kita boleh manfaatkan petua keempat ini.
Petua 4.1
Kita masih lagi dalam petua keempat iaitu gandakan latih tubi. Hari ini saya akan terangkan tentang konsep latih sampai dapat.

Dalam program-program SmartStudy yang biasa saya
jalankan, ramai pelajar bertanya tentang masalah di mana mereka sukar
hendak memahami sesuatu. Bila saya tanya mereka berapa kali mereka cuba
untuk baca sesuatu atau belajar sesuatu, mereka kata hanya 1 atau 2 kali
sahaja!

Hmmm….
apabila kita belajar sesuatu, adalah normal jika kita sukar memahaminya
terutamanya apabila kita belajar sesuatu yang kita tidak biasa gunakan.
Contohnya, jika selama ini kita tidak pernah memancing, tentu sukar dan
janggal apabila kita mahu belajar mengikat mata kail dan memasang
umpan. Bagaimana akhirnya kita pandai memancing? Dengan melakukan
aktiviti memancing berulang-ulang kali bukan?
Sama seperti belajar. Jika kita rasa subjek
Matematik, Sejarah, Sains, Geografi atau apa subjek susah, itu adalah
kerana kita belum cuba membuat latihan yang mencukupi. Jadi mulai hari
ini, untuk skor A tahun 2008, ada 3 perkara yang perlu kita lakukan.
- Pertama, lebihkan membuat latihan daripada membaca.
Apabila kita membuat latihan, secara automatik kita juga perlu membaca.
Namun apa yang lebih hebat, semasa kita membuat latihan, kita akan
membaca dan berfikir. Aktiviti berfikir ini mungkin memeningkan pada
mulanya tetapi lama-kelamaan kita akan rasa cergas dan cerdas. Kita juga
akan lebih ingat apa yang telah kita pelajari.
- Kedua, dapatkan soalan-soalan lepas. Tidak kira kita berada di
sekolah rendah atau menengah, kolej atau universiti, soalan-soalan lepas
adalah gambaran tentang apa yang perlu kita tahu dalam setiap subjek.
Contohnya, apabila kita banyak membuat latihan soalan lepas subjek
Sejarah, kita akan tahu maklumat mana yang penting dalam setiap topik.
Jadi, kita tidak perlu terlalu membuang masa belajar topik kurang
penting dan maklumat yang jarang ditanya dalam peperiksaan.
- Ketiga, buat latih tubi ini secara berterusan. Semakin banyak
latihan yang kita lakukan, kita akan nampak soalan bagaimana yang bakal
keluar nanti. Saya pernah lihat seorang kawan yang begitu handal meneka
apakah soalan yang bakal keluar semasa belajar di peringkat A-Level
dulu. Rupa-rupanya dia banyak membuat latihan soalan lepas dan dia sudah
nampak dengan jelas bentuk-bentuk soalan yang akan ditanya. Apabila ini
berlaku, proses pembelajaran jadi ljauh lebih mudah.
Selamat membuat latih tubi.

Petua 5

Petua
kelima ini adalah sangat penting untuk kita skor A dalam peperiksaan
tahun 2008 ini. Saya ada terangkan dengan jelas dan terperinci dalam
buku kedua saya ‘Menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar’ iaitu
tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
Kebolehan kita untuk mendapat gred adalah bergantung
kepada petua ini. Ada pelajar mempunyai pengetahuan yang luas dan
mendalam dalam sesuatu subjek. Tanya apa sahaja dia boleh jawab. Jadi,
pelajar ini ada ketepatan. Ketepatan bermaksud kita
tahu dengan tepat apa yang diperlukan oleh soalan-soalan subjek atau
soalan-soalan peperiksaan. Namun sayangnya, kadangkala pelajar begini
tidak ada kepantasan. Kepantasan adalah berapa cepat
anda dapat selesaikan sesuatu soalan atau berapa cepat anda jawab
sesuatu soalan di dalam dewan peperiksaan.

Dalam
subjek Matematik contohnya, kerapkali saya dengar rungutan ibu bapa
yang mengatakan anak mereka boleh menjawab semua soalan dengan baik di
rumah. Tetapi yang peliknya bila tiba waktu peperiksaan, anak mereka ini
cuma mendapat keputusan sederhana sahaja, tidak cemerlang. Apabila ini
berlaku, saya selalu rasa hampir pasti ia disebabkan anak ibu bapa tadi
tidak mempunyai kepantasan.
Untuk membuktikannya, saya uji pelajar tersebut
dengan satu atau dua soalan dan saya beri satu tempoh masa. Ternyata
pelajar itu gagal menyiapkan soalan tu dalam masa yang diberikan. Jika
diberi lebih masa, dia akan berjaya lakukannya. Ini jelas menunjukkan
bahawa, walaupun kita tahu banyak perkara tentang sesuatu subjek, kita
tidak akan dapat gred A sekiranya kita tidak mempunyai kepantasan.

Dalam
masa yang sama, ada pelajar yang mempunyai kepantasan tetapi tidak
mempunyai ketepatan. Pelajar ini cepat dapat selesaikan soalan-soalan
peperiksaan tetapi mereka terlalu lalai hingga boleh salah soalan yang
paling senang sekalipun.
Kepantasan tanpa ketepatan akan menyebabkan kita lalai dan sukar mendapat markah yang baik.
Ketepatan tanpa kepantasan pula
menghalang kita daripada menjawab soalan dalam masa yang ditetapkan dan
akibatnya kita akan gagal juga mendapat gred yang kita mahukan.
Kita akan bincangkan lagi bagaimana kita boleh tingkatkan kepantasan dan ketepatan kita sekaligus.

Petua 5.1

Saya
telah terangkan tentang peranan kepantasan dan ketepatan dalam posting
saya semalam. Kini saya akan terangkan bagaimana kita boleh tingkatkan
tahap
ketepatan kita dalam usaha skor A 2008.
Untuk meningkatkan tahap ketepatan, kita memerlukan 3 kemahiran belajar. Kemahiran belajar itu ialah
- Kemahiran untuk fokus semasa belajar
- Kemahiran menghafal
- Kemahiran menulis nota kreatif
Kemahiran fokus semasa belajar -
ialah kemahiran untuk kita tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang
sedang diajarkan. Ini adalah langkah pertama terpenting dalam skor A.
Walau kita hebat bagaimana pun, tanpa fokus, kita tidak akan mampu
memahami apa yang sedang diajarkan.
Saya selalu lihat cara pelajar cemerlang belajar
semasa saya di zaman persekolahan dan semasa saya menjadi guru. Jelas
kelihatan bahawa pelajar cemerlang sangat fokus semasa belajar.
Bagaimana? Mereka lupakan semua perkara lain sewaktu belajar.

Mereka
tidak peduli tentang orang yang sedang lalu-lalang di tepi kelas mereka
dan mereka tidak peduli sangat tentang apa yang berlaku di sekeliling
mereka.
Mereka kelihatan begitu khusyuk dalam usaha memahami
apa yang sedang diajarkan. Ia seperti seorang budak yang sedang khusyuk
menonton cerita kartun kegemarannya. Bolehkah anda bayangkan bagaimana
rupa orang yang sedang khusyuk ini?
Jadi, untuk fokus seperti mereka, kita perlu lakukan beberapa perkara:
- Pertama, apabila cikgu mula mengajar, lupakan semua perkara lain dan
tumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang guru sedang katakan.
- Lebih baik, ringankan mulut untuk bertanya. Apabila guru menerangkan
sesuatu, fikir betul-betul apa yang guru sedang terangkan. Kemudian
apabila ada soalan timbul dalam kepala, buka mulut untuk bertanya.
Jangan risau jika kita kelihatan tidak pandai kerana tidak faham kerana
selalunya separuh daripada murid di dalam kelas kita itu juga tidak
faham sebenarnya. Cuma mereka malu hendak bertanya.
- Duduk seperti seorang budak yang sedang menonton cerita kartun
kegemarannya. Kalau tidak pernah lihat bagaimana cara duduk begini, cuba
kita fikirkan bagaimana cara kita duduk apabila kita melakukan sesuatu
yang menyeronokkan. Duduk dengan cara begini semasa belajar di dalam
kelas atau di mana-mana sahaja.
Petua 5.2

Cara
kedua untuk meningkatkan ketepatan ialah dengan menguasai kemahiran
menghafal atau teknik memori. Teknik memori ialah teknik yang boleh
membuat kita lebih mudah ingat apa yang sedang dan telah kita pelajari.
Teknik ini bukanlah seperti satu ubat yang boleh dimakan agar semua masalah ‘LUPA‘ hilang. Teknik ini memerlukan latihan dan kesungguhan.
Namun apa yang bagusnya, setelah kita memahami dan menguasai teknik ini, mengingati sesuatu akan jadi lebih mudah.
Apa kaitan teknik memori dengan ketepatan? Apabila
kita menjawab soalan peperiksaan, kita perlu mengetahui jawapannya
dengan tepat untuk memperolehi markah yang baik. Jawapan yang tepat
selalu perlu diingat dengan betul.
Contohnya, berapakah suhu takat didih air? Kalau kita
tidak ingat, mungkin kita boleh jawab lebih kurang 90 hingga 110 darjah
celsius. Tetapi, itu tidak tepat. Kita perlu ingat dengan tepat bahawa
takat didih air ialah 100 darjah celsius.
Bagaimana caranya agar kita boleh kuasai teknik memori atau kemahiran menghafal ini?
- Pertama, ikuti kursus, seminar atau bengkel kemahiran belajar yang
dianjurkan di tempat kita belajar atau mana-mana tempat yang kita boleh
hadiri. Selalunya sekolah atau mana-mana pusat pengajian ada
menganjurkan program begini untuk pelajar. Saya juga kadangkala agak
sibuk memenuhi undangan menjalankan program berbentuk kemahiran belajar
dan teknik menghafal ini di sekolah-sekolah, kolej dan juga universiti.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti program sebegini.
- Kuasai teknik ini melalui pembacaan. Kini terdapat banyak buku yang
mengajar teknik-teknik memori dan kemahiran menghafal. Ada yang ditulis
dalam Bahasa Inggeris dan ada yang ditulis dalam Bahasa Melayu
(contohnya buku menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar). Saya
lihat kebanyakan pelajar cemerlang pasti ada melaburkan wang mereka
membeli buku-buku berfaedah begini berbanding pelajar lain yang lebih
suka membeli komik, majalah hiburan dan bahan bacaan yang tidak
menyumbang ke arah pembangunan diri.
- Latih teknik ini setiap hari hingga kita rasa selesa menggunakannya.
Salah satu tanda rasa selesa ialah kita tidak perlu berfikir lagi untuk
melakukannya. Contohnya, apabila kita membaca buku, dengan secara
automatik kita akan praktikkan teknik memori hingga kita tidak sedar
rupa-rupanya banyak maklumat yang kita telah ingat melalui pembacaan
itu.
Mulakan usaha kita untuk menguasai teknik memori ini sekarang!
Petua 5.3
Teknik ketiga untuk meningkatkan ketepatan ialah
dengan menguasai teknik menulis nota kreatif. Nota adalah sangat penting
buat pelajar. Apa yang dipelajari dalam Januari pasti akan hilang dalam
ingatan sebelum tiba bulan Mei atau Jun. Lebih buruk lagi, ada pelajar
yang lupa walaupun baru sahaja beberapa minggu lepas mempelajarinya.
Walaupun ini perkara biasa, sesuatu mesti dilakukan agar kita dapat
ingat lebih lama apa yang telah dipelajari.
Jadi satu cara mudah untuk mengingat apa yang kita
sudah pelajari (selain teknik menghafal) ialah dengan menguasai teknik
menulis nota kreatif. Nota kreatif berbeza dengan nota-nota biasa.
Biasanya nota pelajar hanya dipenuhi dengan tulisan dan juga warna
terang daripada ‘highlighter’. Nota begini tidak banyak dapat membantu
pelajar sebenarnya. Mengapa?

Pertama,
minda kita berfikir secara bergambar. Minda kita sukar untuk mengingat
tulisan. Jadi, nota yang hanya dipenuhi tulisan akan membuatnya sukar
diingat. Kedua, nota begini selalunya panjang dan sukar difahami.
Bayangkan peperiksaan akan tiba dalam masa 2 minggu dan kita perlu baca
nota yang begitu tebal. Apa rasanya?

Jadi, mulai hari ini,
- Tukarkan nota ke dalam bentuk gambar. Anda boleh rujuk kompilasi
tips dan petua tentang teknik memori supaya faham bagaimana cara menulis
nota bergambar.
- Tukarkan nota ke dalam bentuk cerita. Dalam kompilasi petua, topik 7 petua mudah ingat apa dipelajari ada saya berikan contoh bagaimana mahu melakukan perkara ini.
- Sentiasa gambarkan nota yang telah kita tulis dalam minda kita. Cerita bergambar memang lebih mudah untuk dibayangkan.
Selamat mencuba.

Petua 5.4
Kita sudah berada dalam tips terakhir petua kelima
ini. Dalam beberapa posting lepas, saya ada terangkan tentang cara
meningkatkan ketepatan. Hari ini, saya akan kongsikan satu tips
bagaimana kita boleh tingkatkan tahap kepantasan kita pula.

Diringkaskan cerita, cara paling mudah untuk kita meningkatkan kepantasan ialah dengan
membuat latihan dalam masa yang ditetapkan. Apa maksud saya? Bagini.
Katakan kita sedang membuat latihan matematik. Cuba
buat satu soalan dan lihat berapa banyak masa yang kita ambil untuk
menyiapkannya. Katakan masa yang diambil ialah 7 minit. Kemudian, ambil
satu kertas lain, cuba buat lagi sekali soalan yang sama itu.
Bolehkah ia disiapkan dalam jangka masa kurang 7
minit? Kalau boleh, bagus. Tetapi, berapa cepat? 5 minit? 4 minit? Atau 2
minit? Latihan berterusan dengan mengejar masa begini akan membuat otak
kita lebih peka, cerdas dan cekap dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Satu cara lagi, setiap kali kita buat latihan
daripada buku teks atau buku latihan, catatkan masa yang kita ambil
untuk menyiapkannya. Kemudian, cuba tambahkan kepantasan kita dari masa
ke semasa. Satu contoh yang biasa saya lakukan semasa saya mengajar
Matematik untuk pelajar UPSR, saya berikan mereka 100 soalan sifir
mudah. Mereka perlu hafal sifir untuk menyiapkan latihan ini dengan
pantas.
Saya cuma beri masa 4 minit untuk menyiapkan 100
soalan itu. Selalunya, buat kali pertama, jarang pelajar saya dapat
selesailkan. Namun, setelah dilatih beberapa kali, mereka jadi semakin
cepat.
Lama kelamaan, ada pelajar saya yang apabila lihat
sahaja soalan, mereka sudah tahu jawapannya. Rekod terpantas yang dapat
dicatatkan oleh pelajar saya ialah 2 minit untuk 100 soalan. Betul 100%.
Alhamdulillah, pelajar ini mendapat gred A dengan mudah dalam subjek
Matematik pada peperiksaan UPSR.
Jadi, mulai hari, latih kepantasan untuk skor A tahun ini. Selamat mencuba.

Petua 6
Sudah beberapa minggu tergendala perbincangan kita
mengenai petua skor A 2008 kan? Hmm… agak sibuk sedikit kebelakangan ini
tetapi tidak mengapa, saya akan habiskan tulisan saya mengenai 7 petua
ini.
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’.
Mudah sahaja bunyi petua ini tetapi tahukah kita bagaimana menjaga
kesihatan fizikal dan mental. Mari kita mulakan dengan kesihatan fizikal
dahulu.

Selalunya,
apabila sudah terlalu bersemangat untuk skor A, pelajar lupa menjaga
kesihatan tubuh badan mereka. Mereka terperap dalam rumah atau bilik
untuk membaca buku. Mereka enggan keluar berjalan-jalan atau bersenam.
Mereka juga mula tidak menjaga makan minum mereka di mana mereka tidak
makan dengan cukup, makan berlebihan atau makan makanan yang tidak
berkhasiat.
Saya percaya tidak perlu diterangkan mengapa
kesihatan fizikal itu penting untuk skor A. Kita kena ingat, minda tidak
boleh berfungsi dengan baik jika fizikal kita tidak berada dalam
keadaan yang baik.
Sama seperti kereta, ia tidak berfungsi dengan baik
jika ada sebarang kerosakan pada enjinnya. Jadi, apa yang perlu kita
lakukan untuk menjaga kesihatan fizikal dalam usaha skor A 2008 ini?
- Pertama, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia boleh dilakukan
dengan memakan buah-buahan segar atau sayur-sayur segar. Kebanyakan
zat-zat yang kita perlukan boleh didapati di dalam makanan-makanan ini.
Jika sukar mendapat makanan berkhasiat, penggunaan ’supplement’ atau zat
tambahan yang boleh dibeli di pusat kesihatan atau farmasi juga boleh
membantu.
- Kedua, banyakkan minum air yang bersih. Sukar untuk saya terangkan
lebih lanjut mengenai air bersih ini. Namun, air yang dicadangkan oleh
Dr Bruce Miller (penulis buku-buku kesihatan termasuk buku mengenai
penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya) mencadangkan air
reverse osmosis atau air yang sudah disuling. Kalau kita pergi ke kedai,
kita boleh lihat banyak air minuman yang dijual dalam botol bukan?
Selalunya kita hanya panggil air minuman itu dengan nama air mineral.
Tetapi bukan semua air itu air mineral. Ada diantaranya ialah air
reverse osmosis. Ia selalunya juga ditulis sebagai ‘drinking water’.
Dapatkan nasihat seseorang yang lebih pakar daripada saya mengenai
perkara ini supaya tidak ada keraguan.

Luangkan
masa 30 hingga 60 minit sehari untuk berpeluh. Mudah sahaja bunyinya
kan? Kalau kita berjalan kaki ke kedai pun kadang-kadang sudah ambil
masa 30 minit dan kita akan berpeluh. Itu pun sudah lebih baik daripada
asyik terperap di dalam rumah.
- Lakukan senaman regangan otot 5 – 10 minit sehari. Apabila kita
asyik belajar dan duduk di atas kerusi sepanjang masa, otot kita boleh
jadi kejang dan tidak selesa. Perjalanan darah juga akan jadi tidak
lancar. Jadi dengan membuat senaman regangan otot, kita akan rasa lebih
segar dan selesa. Mudahlah nanti untuk kita sambung belajar.
- Lebih menarik lagi, luangkan masa bermain sukan dengan kawan-kawan 30 hingga 60 minit sehari.

Petua 6.1
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun 2008 ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Saya telah terangkan mengenai tips menjaga kesihatan fizikal. Kali ini, kita bincangkan tips menjaga kesihatan mental pula.

Kita
perlu faham, kadangkala tekanan perasaan yang kita rasa sebagai pelajar
boleh menjadi terlalu hebat hingga ia memusnahkan kebolehan kita untuk
berfikiran rasional. Ada ketikanya, pelajar boleh jatuh sakit secara
fizikal (demam, letih badan, pening kepala atau kerengsaan kulit) atau
secara mental (separuh gila, gila atau hilang akal). Berat juga perkara
ini kerana saya sendiri pernah menyaksikan sahabat saya sendiri jatuh
sakit secara mental akibat tekanan perasaan semasa belajar dan masih
tidak pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.
Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk menjaga kesihatan mental kita ini.
- Pertama, kekalkan imej positif di dalam minda kita. Tekanan perasaan
selalunya disebabkan kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang
menakutkan seperti gagal peperiksaan atau tidak mampu menjawab dengan
baik dalam dewan peperiksaan. Hari ini, senaraikan perkara-perkara yang
boleh buat kita gembira setiap kali memikirkannya. Apabila kita rasa
tertekan, terus lihat pada senarai ini dan fikirkan tentang perkara
tersebut. Saya pasti ia boleh membantu mengurangkan tekanan yang kita
rasakan.
Mula
berkawan rapat dengan kawan-kawan yang ceria, cemerlang dan yang suka
memberi dorongan dan sokongan. Tujuan ini bukan untuk kita pergi kepada
mereka dan luahkan masalah kita kerana masalah yang kita bawa akan
melemahkan mereka juga. Pergi kepada mereka untuk tiru cara mereka hadapi tekanan perasaan mereka.
Pelajar cemerlang selalunya berfikiran positif dan menganggap tekanan
perasaan sebagai satu cabaran yang seronok untuk ditempuhi. Ia sama
seperti kita bermain sukan. Semakin sukar permainan itu, semakin seronok
untuk kita cuba memenanginya.
- Jaga ibadah harian. Selain daripada menunaikan sembahyang wajib,
luangkan juga masa untuk melakukan ibadah sunat yang digalakkan dalam
agama kita. Saya selalu percaya bahawa air sembahyang adalah satu
senjata hebat pelajar cemerlang untuk mengurangkan tekanan perasaan
mereka. Disamping itu, membaca Al-Quran selepas Subuh dan Asar
benar-benar boleh menenangkan fikiran dan menambahkan keselesaan dan
kelapangan di dalam hati kita.
Selamat mencuba.
Petua 7
Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’.
Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu
mengapa sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai
gred A dalam tahun ini?

Begini.
Semasa kita berusaha untuk mencapai matlamat, kita akan menghadapi
pelbagai rintangan dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin datang
dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan rasa sakit hati akibat
macam-macam perkara. Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek
Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu
mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred B, C, D atau gagal.
Cabaran ini boleh menggugat keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.
Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan
rakan-rakanlah yang boleh membantu menaikkan semula semangat dan
keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah itu untuk
mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya
untuk mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana
mendapat sokongan daripada ibu bapa.
Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk
menyokong dan memberi semangat kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan
kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga. Malah, banyak
ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila
menjelang peperiksaan (pernah lihat situasi begini?).
Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara
yang perlu kita lakukan agar mereka lebih mudah memahami cabaran yang
sedang kita tempuhi.
Pertama,
belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada ibu bapa.
Masalah biasa dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya kebolehan
untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Perkara ini selalu saya lihat
dalam sesi kaunseling yang saya jalankan terutamanya apabila anak-anak
meningkat dewasa (dari umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada masalah
atau kerisauan, cuba bincangkan dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan
perkara mudah. Namun setelah anda buka mulut dan berkongsi masalah
dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong
kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya
berdiam diri dan mula menunjukkan perangai-perangai yang tidak
menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang dengan cara begitu.
Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan
dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka
akan bantu.
- Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk
mencapai kejayaan. Ceritakan kepada mereka mengapa kita mahu capai
kejayaan. Kemudian, berterus-terang dengan mereka yang kita perlukan
sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana
yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah
bertekad untuk berjaya.
- Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk
berjaya, jangan lupa untuk membantu ibu bapa di rumah. Kerja-kerja
rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk kita. Setelah kita bantu
meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang.
Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka
membantu kita nanti.
Selamat mencuba.

Petua 7.1

Petua ketujuh untuk skor A 2008 ini ialah
‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’.
Semalam saya sudah terangkan bagaimana untuk mendapat sokongan ibu
bapa. Kali ini, mari kita bincangkan bagaimana untuk mendapat sokongan
guru dan rakan-rakan.
Para pembaca yang saya hormati sekalian, sokongan
guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan
kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui
guru kita.
Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu
dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana.
Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak
bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya.
Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah
sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja.
Saya percaya tanggapan ini salah.

Mengapa?
Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan guru sama ada di zaman
persekolahan atau dewasa, saya lihat semua guru mahu anak muridnya
berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka.
Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah
kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat
pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru
tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.
Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih
bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali
lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita.
Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak
beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak
pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika
kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk
membantu kita?Tentu tidak bukan?
Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita. Saya ada tulis
7 petua untuk memikat hati guru di dalam blog ini. Untuk membaca kompilasinya,
klik disini.
Dengan 7 petua ini, saya percaya kita akan lebih mudah mendapat
perhatian dan sokongan guru meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan
tanggungjawab hariannya.
Selamat mendapat sokongan guru dan selamat memikat hati mereka.

Petua 7.2

Kita
sudah sampai ke tips terakhir dalam 7 petua skor A 2008 ini. Dalam
petua ketujuh yang lepas, saya sudah terangkan kepentingan menjaga
hubungan baik dengan ibu bapa dan guru. Kali ini saya akan terangkan
kepentingan dan juga teknik untuk menjaga hubungan baik dengan rakan
sebaya.
Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya adalah
orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan
akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap fikiran
yang sama dengan kita. Jadi jika mereka faham sesuatu, mereka boleh
terangkan kepada kita dengan lebih mudah.
Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan
sistem sokongan kepada kita. Ada banyak ketikanya kita tidak dapat
luahkan masalah atau kerisauan hati kita kepada guru atau ibu bapa
tetapi rakan-rakan rapat kita akan sentiasa bersedia mendengar dan
menyokong kita.
Namun kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan
sebaya boleh membantu kita. Ada yang akan cuba menarik kita kearah
kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Contohnya jika kita berkawan
dengan pelajar yang malas, walaupun dia baik dan rapat dengan kita, dia
akan membuat kita terikut-ikut dengan perangai malas atau nakalnya.

Untuk skor A 2008 ini, ada beberapa tips yang perlu kita praktikkan.
- Pertama, dekati rakan-rakan berfikiran positif, rajin dan
bersemangat untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang
kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan
suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita
untuk belajar dengan lebih baik.
- Belajar bagaimana mahu menambahkan jumlah kawan. Kemahiran berkawan
adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana tanpanya, tidak ramai
pelajar yang mahu berkawan dengan kita. Jadi, baca tips kemahiran
berkawan (Klik disini) dan 7 petua memikat hati rakan sebaya ( klik disini)
Selamat mencuba.

Petua 7.2

Alhamdulillah.
Saya telah berjaya menulis 7 petua skor A untuk tahun 2008 ini.
Petua-petua ini sebenarnya adalah hasil bacaan saya selama ini dan juga
hasil pemerhatian saya terhadap pelajar-pelajar cemerlang yang saya
kenali. Saya selalu percaya bahawa skor A dalam peperiksaan adalah
umpama kita sedang belajar memasak daripada seorang Chef yang handal.
Jika kita ikut satu-persatu apa yang dilakukan termasuk menggunakan
sukatan yang 100% sama, kita pasti akan dapat hasil yang sama.
Seperti pelajar cemerlang yang mampu skor A juga,
kita boleh jadi seperti mereka jika kita amalkan apa yang mereka
amalkan. Antara apa yang mereka amalkan ialah 7 petua yang saya
kongsikan di sini. Mari kita ulang semula ketujuh-tujuh petua ini.
- Tulis gred yang kita mahu capai.
- Kenal pasti kekuatan dan kelemahan.
- Uruskan masa berpandukan matlamat.
- Latih tubi.
- Tingkatkan kepantasan dan ketepatan.
- Jaga kesihatan fizikal dan mental.
- Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.
Saya ucapkan selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!